Shamin Suraya binti Nik Mansor lwn Mohamad Fahmi bin Hussin (No. Kes: 05200-016-0424-2020)
DOI:
https://doi.org/10.33102/altaqrir.11Keywords:
Mut’ah, perceraian, Undang-Undang Keluarga Islam, nusyuz, Mahkamah SyariahAbstract
Alasan penghakiman ini melibatkan tuntutan mut’ah. Permasalahan utama ialah: (i) sama ada Plaintif berhak menerima mut’ah; dan (ii) sama ada jumlah RM101,000.00 yang dituntut munasabah. Kerangka undang-undang bertunjangkan Seksyen 58 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 (hak mut’ah jika diceraikan tanpa sebab yang patut). Defendan berhujah tuntutan ini ditolak disebabkan Plaintif telah menggugurkan haknya melalui persetujuan lisan dan mendakwa Plaintif nusyuz.Metodologi Mahkamah berasaskan penilaian keterangan dan dokumen, konsistensi saksi, serta penerapan ijtihad hakim berpandukan nas al-Quran dan kaedah fiqh serta kes terdahulu bagi menentukan punca perceraian dan kelayakan mut’ah. Dakwaan bahawa Plaintif menggugurkan hak mut’ah ditolak berasaskan prinsip tatacara persetujuan di bawah seksyen 99, 94 dan 131 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Sembilan) 2003 (ETMMS 2003), serta diperkukuh melalui Arahan Amalan No. 6/2008 dan No. 9/2015 kerana tiada persetujuan direkod/ diendors sebagai perintah; dakwaan nusyuz turut ditolak kerana tiada sabitan penghakiman bersandarkan seksyen 121 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 (EUUKINS 2003). Dalam menentukan kadar, Mahkamah mempertimbangkan lapan faktor di bawah Seksyen 58(2) EUUKINS 2003, termasuk keperluan pascacerai, kemampuan suami pada tarikh perceraian, tempoh perkahwinan (10 tahun), serta pengorbanan Plaintif. Mengambil kira pendapatan Defendan sekitar RM7,996.52 ketika perceraian dan penilaian berwajaran terhadap faktor-faktor tersebut, Mahkamah memerintahkan mut’ah RM21,978.00, dibayar secara berjadual. Kos ditanggung sendiri oleh pihak-pihak.








