Noor Afiqah Shuhaidah binti Khairuddin lwn Khairuddin bin Abu Samah (No. Kes: 2303-L0205-124-0262)
DOI:
https://doi.org/10.33102/altaqrir.13Keywords:
Tuntutan wali enggan, wali hakim, Seksyen 122 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003 , rukun nikahAbstract
Kes ini berkaitan tuntutan wali enggan yang difailkan oleh Plaintif terhadap bapanya di Mahkamah Rendah Syariah Seremban di bawah Seksyen 13(b) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003. Plaintif menuntut agar pernikahan dengan calon pilihannya dapat dilangsungkan setelah Defendan enggan mewalikannya tanpa alasan munasabah. Mahkamah meneliti keterangan kedua-dua pihak, saksi-saksi, serta merujuk dalil al-Quran, al-Hadis, dan pandangan fuqaha. Mahkamah percaya, peranan wali dalam akad nikah ini telah dimaklumi umum, merupakan satu rukun nikah yang tidak boleh dipandang ringan. Wali berfungsi sebagai pelindung dan penasihat kepada wanita, khususnya dalam urusan perkahwinan yang melibatkan masa depan dan maruah. Keadaan wali yang enggan menikahkan anak perempuannya tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak boleh membawa kepada pelbagai implikasi negatif, bukan sahaja terhadap anak perempuan yang terlibat, tetapi juga terhadap institusi kekeluargaan dan masyarakat secara keseluruhannya. Walau bagaimanapun, Mahkamah tidak akan sewenang-wenangnya memberi kebenaran wali raja tanpa mempertimbangkan keterangan daripada wali bagi mengimbangi hak wali dan hak anak perempuan itu sendiri. Walau bagaimanapun, dalam kes ini selepas pihak wali diberikan ruang untuk memberi keterangan dan membuktikan dakwaan berkaitan kengganannya, analisis Mahkamah mendapati bahawa kuasa wali mujbir tetap terikat dengan syarat sekufu serta larangan menolak calon suami yang beragama dan berakhlak baik. Dalam kes ini, calon suami Plaintif didapati sekufu, berpendidikan, berpendapatan stabil, dan tidak mempunyai halangan syarak. Alasan Defendan mengenai keengganannya tidak dapat dibuktikan serta tiada calon lain pilihan wali yang lebih sekufu dikemukakan. Mahkamah memutuskan bahawa Defendan telah enggan mewalikan Plaintif tanpa alasan syarie yang sah. Oleh itu, Mahkamah memberi persetujuan dan membenarkan pernikahan Plaintif dilangsungkan melalui wali hakim (Wali Raja). Keputusan ini menegaskan prinsip bahawa hak wali mujbir tidak boleh disalahgunakan untuk menghalang perkahwinan yang sah di sisi syarak, khususnya apabila syarat sekufu dan kerelaan pihak perempuan telah dipenuhi.








